PISANG SIRA









PISANG SIRA


Di antara beberapa jenis makanan tradisional Kelantan yang saya suka makan dan suka masak ialah pisang sira, yang selalu disebut oleh orang Kelantan “sira pisang” seperti kami memanggilnya “goreng pisang”, bukan “pisang goreng”.

Pisang sira biasanya digunakan sebagai makanan pembasuh mulut, atau pencuci mulut ataupun desert yang dimakan selepas makan berat, seperti selepas makan nasi tengah hari.


                                                     Pisang Kebatu sedap dimasak sira.                                                     

Cara membuatnya pun mudah sekali, dan bahan yang diperlukan pun tidak banyak untuk memasak pisang sira.

Selain dari pisang, lain-lain bahan juga boleh disira, seperti ubi kayu, ubi setela atau ubi keledek, ubi setawi, buah sokong  dan sebagainya dari jenis buah-buahan yang boleh dimasak.

Pisang pun bukan semua jenis pisang yang sesuai dimasak, dan hanya pisang tertentu sahaja yang boleh disira. Antara pisang-pisang yang tidak sesuai dimasak ialah pisang kelat keling atau pisang restali, pisang kapas, sementara jelai berangan hanya yang tidak begitu masak sahaja sesuai untuk disira. Antara pisang-pisang yang boleh disira pula ialah pisang kebatu [sebagaimana dalam gambar], pisang nangka, pisang raja, pisang lemak manis yang belum begitu masak, dan sebagainya.

Tengah hari kelmarin di rumah kami ada sesikat pisang kebatu yang sudah masak, iaitu pisang hasil tanaman kami sendiri dan ianya selepas diedarkan kepada kawan-kawan dan jiran-jiran, itulah yang tinggal kepada kami.

Oleh sebab kami agak lama tidak makan pisang sira, maka saya pun menyira sesikat pisang itu untuk dimakan oleh seisi keluarga.

Bahan yang diperlukan untuk menyira pisang, selain dari pisang ialah gula, garam, daun pandan atau kalau tak ada daun pandan, gunakan cengkih.

Caranya pula masukkan air ke dalam periuk, masukkan gula, garam, daun pandan yang disimpul ataupun bunga cengkeh, dan masakkan atas dapur hingga air mendidih.

Bila air mendidih masukkan pisang itu setelah dibelah dua memanjang atau dikerat melintang, disesuaikan mengikut keadaan bentuk  dan keadaan pisang itu masak atau tidak begitu masak. Juga mengikut pilihan sendiri. Masukkan pisang sebiji demi sebiji kalau pisang yang hendak disira itu tidak terlalu banyak.

Atau kalau pisang dari jenis yang kecil buahnya, seperti pisang lemak manis, tak payah dikerat atau dibelah, masakkan sahaja sebiji-sebiji supaya tidak hancur nanti.

Balik-balikan pisang itu sekali-sekali dengan perlahan, supaya pisang tidak putus atau hancur.



                                     Pisang sedang dimasak atas dapur, dan masih mendidih                                   

Pisang kalau dipotong dan disimpan, dan tidak segera dimasukkan terus dalam periuk yang air telah mendidih, warna pisang akan berubah menjadi kehitaman, kerana itu tidak elok dipandang kerana telah “masuk angin”.

Jika anda suka makan kuah, banyakkan sedikit air dan gulanya, supaya cair dan tidak pekat bila masak nanti, tapi kiranya anda sukakan kuah yang pekat, kurangkan airnya sekadar boleh memasakkan pisang itu sahaja bila dijerang atas dapur.


                              Pisang sira yang telah siap dimasak, dan sedia untuk dinikmati                               

Andainya anda ingin pisang itu kelihatan lebih menarik, kerana pisang yang dimasak dari jenis pisang yang pucat, tidak berwarna, warnakan sedikit dengan pewarna kuning supaya kelihatan lebih menarik.

Pisang sira ini kalau dimasak lebih manisnya dari biasa dan pekat ia boleh tahan berhari-hari walaupun tidak disimpan dalam peti ais.


                                 Pisang sira dan semangkok bubur oat untuk makan petang                                    

Biasanya  pisang sira hanya menggunakan gula biasa, bukannya menggunakan manisan atau gula Melaka, yang biasanya digunakan sebagai bahan untuk membuat pengat pisang sebagai ganti gula, ataupun dicamporkan kedua-duanya sekali untuk memasak pengat pisang.

Salah seorang penggemar pisang sira saya ialah isteri saya Asiah Yaacob, semoga Allah cucuri rahamat ke atasnya.

Sekianlah selamat mencuba dari Atok penghuni Pondok Rahmat. 




Wassalam.

1 comments:

Jida said...

Suka sgt.lagipun nak masak pn simple

Post a Comment