Telatah-telatah Pahit Kelat Di Pasar Besar K.K.




Telatah Pahit  Kelat Di Pasar Besar K.K


Sudah kira-kira tiga tahun saya tidak menjejakkan kaki di Pasar Besar Kuala Krai, Kelantan. Tapi dua tiga yang lepas kerana ada keperluan, saya pergi ke pasar tersebut di waktu pagi. Tujuan saya ialah hendak membeli sebuah pasu tanah yang kecil.

Pasar tersebut terletak di tengah-tengah bandar Kuala Krai, Kelantan  yang dikenali dengan nama Pasar Besar Kuala Krai. Bangunan utama pasar lama ini bentuknya bertingkat-tingkat, di samping itu di sisinya ada bangunan-bangunan kecil, bangsal-bangsal tempat menjual berbagai-bgai barangan keperluan, termasuk pakaian, alat-alat dapur, sayur-sayuran, buah-buahan dan serba neka.




Bahagian atas bangunan indoknya juga  terdapat bermacam-macam barang diperniagakan, kueh-mueh tradisonal, ikan kering, sayur-mayur, ualam-ulaman, budu, gula, gandum dan sebagainya. Sebahagian daripada barang-barang itu dijual di atas bangku-bangku  yang dibina memanjang secara terbuka. Di samping itu ada juga beberapa buah petak gerai jualan runcit yang bertutup dan boleh dikunci.

Di tingkat atas pasar ini nampaknya usang benar. Redup dan suram. Ada gerai-gerai yang tidak berjual, dan demikian juga ada petak-petak kedai yang bertutup, malah saya rasa ada yang sudah beberapa lama terbiar menunggu masa musnah sahaja. Suasana yang tidak ceria dan tidak memberangsangkan.

Justeru itu, pasar ini memerlukan pembaharuan untuk menghidupkannya kembali.

Saya diberitahu pasu tanah yang saya cari itu tidak ada dijual di pasar tersebut. Beberapa tahun yang lampau kami pernah membeli sebuah periuk kukusan dan sebuah belanga tanah yang dijual di sebuah gerai di pasar itu. Tapi hari ini, entah kenapa barang-barang itu tidak lagi dijual di situ.

Sejauh yang saya ketahui, pasu-pasu tanah itu diperbuat di sebuah kampung yang dikenali dengan nama Mambung yang terletak arah ke hulu Kuala Krai. Saya pernah sampai ke sana dengan menaiki bot laju dan melihat bagaimana barang-barang kraf itu diusahakan di situ.

Setelah berpusing-pusing menurut lorong-lorong yang terletak di celah-celai gerai-gerai dan bangku-bangku , tiba-tiba saya mendengar suara seseorang berkata, “Tolonglah ambo [saya] sikit!”.

Kerana tidak tahu dari mana suara itu datang dan kepada siapa dihalakan, saya mematikan langkah. Suara itu kedengaran berulang lagi, “Tolonglah ambo sikit [sedikit]”. Saya mencari sumber suara itu lagi.

Rupa-rupanya suara itu datang dari seorang wanita yang telah lanjut usianya. Betul-betul di sebelah rusuk kiri saya. Saya memalingkan badan. Seorang wanita penjual runcit, sedang duduk di atas sebuah bangku kayu yang agak panjang.

“Tolonglah ambo sikit”. Dia mengulangi kata-kata tersebut. Dia menghulur dengan tangan kirinya satu bungkusan  plastik kecil yang berisi sejenis cecairan pekat, sementara tangan kanannya memegang sebila pisau kecil.

“Ambo nak buka ni”, katanya menjelaskan sambil menganggkatkan bungkusan plastik itu, “Tapi tak boleh, tangan hamba ni ketar”.

Secara spontan, saya pun menhulur tangan kanan saya untuk membantu. Tapi dia segera menarik kembali bungkusan plastik itu sambil berkata, ‘Hai tak payahlah. Nanti kotor tangan. Ini kuah gulai. Ambo tak boleh buka, kerana tangan hamba ni ketar”. Dia menjelaskan.

“Tak payahlah, “Ulangnya lagi, “Nanti kotor tangan tu”.

“Nak makan nasikah?”, tanya saya.

“Ya”, katanya. “Nak makan nasi belauk”.

Saya pun tanpa berfikir sejenak, menarik kembali tangan yang telah saya hulurka itu, dan meneruskan perjalanan.

Tapi bila saya berada agak jauh dari wanita itu, tiba-tiba satu lintasan fikiran telah menerjah  dalam benak saya. Ia berupa satu penyesalan. Kenapakah saya keberatan untuk menolong hamba Allah tersebut? Kenapa?

Sedangkan kalau tangan saya kotor kerananya, ia boleh dibasuh. Saya hanya diminta memegang bungkusan plastik itu untuk membolehkannya mengerat simpulan plastik itu untuk mengambil isinya. Air banyak disediakan di pasar itu. Saya merasa alangkah sombongnya saya ini. Perkara yang sekecil itu pun, saya tidak mampu untuk memberi pertolongan kepada seseorang yang memerlukannya.

Perasaan menyesal bertalu-talu menggoris hati saya. Terasa-rasa hendak pergi semula menemui orang itu dan memohon maaf kepadanya kerana ketidaksediaan saya untuk menghulurkan pertolongan yang amat diperlukannya pada waktu itu.

“Ya Allah, ampunnilah aku”, kataku dalam hati.

Kaki saya terus melangkah menyusuri lorong yang memisahkan antara sebuah bangku dengan sebuah bangku yang dijadikan laluan orang, menuju ke pintu besar pasar. Tiba-tiba saya melihat seorang lelaki India bertubuh gempal sedang berkata-kata  dengan agak deras, “Terung-terung bulat”. Maksudnya dia sedang mencari  terung yang jenisnya berbentuk bulat. yang biasanya suka dimakan oleh orang-orang India di tempat saya.

Dua tiga oang penjual-penjual wanita yang telah berusia di sebelah kiri kanan lurung itu hampir serentak menjawab, “Terung bulat tak ada. Tak ada”.

Kemudian setelah diam sejenak, kedengaran salah seeorang daripada wanita itu kedengaran berkata, “Kita tak jual terung bulat. Dia cari terung bulat. Kita hanya jual “terung panjang”. Dia ketawa dan mengilai.

Lalu disambut oleh penjual wanita lain pula. “Kita tak jual yang bulat, kita hanya jual yang panjang-panjang. Kita suka yang panjang”. Dia pun memcah ketawa juga.

Dan yang lain menyampuk pula, “Yang panjang pun sedap”.

Saya tidak tahu samada orang India itu faham atau tidak guruan wanita-wanita tersebut. Saya tidak dapat menahan dari tersenyum. Dan sambil kaki terus melangkah menuju ke pintu pasar dan menruni anak-anak tangga batu yang baru dibina menuju ke arah jalan.

Walau bagaimana pun Pasar Besar Kuala Krai ini, khususnya bangunan induknya amat memerlukan perubahan, memerlukan pembaharuan untuk memberi nafas baru kepadanya yang diharap akan dapat memberi sumbangan yang lebih mengutungkan kepada para peniaga, di samping memberi khidmat bakti yang lebih bererti kepda masyarakat pembeli, sesuai dengan kedudukannya yang begitu stategik di tengah-tengah pusat bandar Kuala Krai.

Janganlah dibiarkan bangunan induk pasar itu menjadi seperti tunggul-tunggul buruk yang tidak berguna lagi sedangkan kedudukannya sungguh istimewa itu boleh dijadikan pusat membeli-belah yang berpotensi dan bermasa hadapan

Saya melangkah menuruni anak-anak tangga pasar itu dengan dua corak warna hati, pahit dan kelat bersumber dari dua peristiwa yang berbeza, dari tempat yang sama yang berakar umbi dari telatah manusia dalam mengharungi kehidupan mereka yang tidak mempunyai tema yag khusus.

Walau bagaimana pun saya tinggalkan pasar itu dengan hati yang banyak mendongkol. Sebal dan kecewa yang menggocak perasaan. Setelah beberapa hari berlalu peristiwa wanita dan bungkusan plastik yang meminta bantuan saya itu masih terasa gorisannya pada hati saya. Saya masih ternampak-nampak tangan wanita itu yang terketar-ketar menghulurkan bungkusan plastik itu kepada saya.......................

Semoga saya tidak akan mengulangi lagi peristiwa seperti ini di masa-masa akan datang, menjadi orang yang mementingkan diri sendiri.

 







0 comments:

Post a Comment