Bila kami sampai di suatu tempat di kawasan penjualan pokok-pokok bunga di Sungai Buluh, kami tertanya-tanya sesama sendiri, kenapa ada beberapa kenderaan, kereta dan motosikal berhenti di tepi jalan dan sekumpulan kecil orang ramai berdiri di tepi jalan, sedang bercakap-cakap dan memerhati sesuatu.
Tepat sangkaan kami, bahawa keadaan seperti itu biasanya menjadi pertanda berlakunya kemalangan jalan raya. Sebuah kereta yang masih baru didapati terperosok dalam pokok-pokok bung dan pasu-pasu bunga yang dipamerkan untuk jualan di tepi jalan raya itu. Di samping itu pecahan pasu-pasu bunga juga kelihatan berselerak.
Dari keadaan kereta itu menunjukkan kemalangan tersebut tidak parah. Menurut cerita seorang wanita penjual pokok bunga di situ, kereta itu dipandu oleh seorang wanita, dan ianya baru sahaja berlaku.
Katanya dia tidak tahu bagaimana kemalangan itu boleh berlaku. Nasib baik, katanya, waktu kemalangan itu berlaku dia dan kawan-kawannya tidak ada di situ, sedangkan katanya mereka sepatutnya sedang membajai pokok-pokok bunga di sekitar tempat tersebut.
“Kalau tidak, matilah”, katanya sambil menggeleng-gelengkan kepala.
Tujuan kami bertiga, iaitu saya, Arham Zaini dan Adyna ke Sungai Buluh petang tadi ialah untuk membeli sedikit pokok-pokok bunga, terutama pokok-pokok bunga kertas yang beraneka warna.
Menurut apa yang difahamkan kepada kami, Sungai Buluh memang terkenal sebagai kawasan menjual pokok-pokok bunga, dengan jumlah yang banyak dan beraneka jenis dan harganya lebih murah dari tempat-tempat lain.
Ada berbagai-bagai-bagai jenis pokok bunga yang dijual di sepanjang jalan melewati Hospital Sungai Buluh yang hujungnya berakhir dengan kompleks kampus UTM, Sungai Buluh.
Mungkin kerana kami lewat sampai, atau mungkin kerana suasana sambutan Tahun Baru China masih belum berakhir, tidak banyak perniagaan yang dibuka pada petang ini.
Kami sempat singgah di dua buah tempat menjual pokok bunga, dan membeli beberapa pohon pokok bunga kertas dan sedikit bunga-bunga lain, termasuk sepohon pokok bunga ros yang menjadi kesukaan saya. Kami tidak boleh berlama-lama di situ kerana waktu Maghrib akan segera tiba.
0 comments:
Post a Comment